KUALA KANGSAR: Lebih 100 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kuala Kangsar mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Mereka diketuai Timbalan Ketua Bahagian, Datuk Adly Shah Ahmad Tah bersama pemimpin sembilan daripada 11 cawangan.
Adly Shah berkata, peletakan jawatan mereka berkuat kuasa serta merta.
“Tindakan ini dibuat kerana melihat Bersatu gagal berkembang di Kuala Kangsar, sebaliknya bilangan akar umbi yang semakin mengecil,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Turut hadir Bendahari, Abd Hadi Sabri dan ketua-ketua cawangan antaranya Bunga Raya, Ulu Kenas, Sayong Lembah, Bendang Kering, Senggang, Jerlun, Bukit Residen.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dengan penuh tekad dan pertimbangan demi memastikan perjuangan politik serta masa depan masyarakat di Kuala Kangsar dapat diteruskan melalui wadah yang lebih diyakini.
Beliau yakin parti Wawasan akan mengukuh di Kuala Kangsar berdasarkan prestasi parti itu semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“PRN Negeri Sembilan menjadi kayu pengukur berdasarkan konsensus parti Wawasan, Barisan Nasional (BN) dan Pas. Yakin mampu berjaya,” ujarnya.
Menurutnya, mereka menyokong penuh Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan akan memulakan gerak kerja untuk menubuhkan Wawasan Bahagian Kuala Kangsar.
Sebagai maklumat, Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar ketika ini ialah Dr. Hashim Bujang yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan.
Ends.





