159 pelajar, kakitangan sekolah berasrama di Lenggong keracunan makanan

Berita Perak

GAMBAR HIASAN

IPOH: Seramai 159 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah berasrama di Lenggong mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada hidangan yang dibekalkan sempena satu program pada Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, Datuk A Sivanesan berkata, mangsa berusia antara 13 hingga 52 tahun itu dilaporkan mengalami gejala bermula jam 11.30 malam pada Rabu hingga 1.40 petang semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua kes mengalami cirit-birit dan sakit perut, selain sebahagian turut mengadu sakit kepala, loya, muntah serta demam.

“Daripada jumlah itu, 125 orang mengalami sakit kepala, 89 orang loya, 31 muntah dan 15 demam.

“Semua kes telah diperiksa serta menerima rawatan di sekolah berkenaan oleh pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Lenggong,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sivanesan berkata, hanya 10 kes mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Kesihatan Lenggong dan kesemua mangsa kini dilaporkan stabil tanpa sebarang kemasukan ke hospital.

Menurutnya, sebanyak 34 sampel klinikal termasuk ujian kultur najis dan virologi telah diambil daripada pesakit, selain 14 sampel persekitaran serta satu sampel makanan untuk dianalisis di Makmal Kesihatan Awam Ipoh.

“Siasatan mendapati makanan yang disyaki menjadi punca kejadian disediakan oleh katerer luar yang ditempah oleh sebuah agensi bagi program di sekolah tersebut pada 9 September lalu,” ujarnya.

Tambahnya, pemeriksaan ke atas premis penyedia makanan berkenaan mendapati tahap kebersihan berada pada penarafan 78.16 peratus.

“Sehubungan itu, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Perak telah mengarahkan penutupan premis berkenaan di bawah Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Menurut Sivanesan, pengusaha turut diarahkan melaksanakan kerja pembersihan dan kawalan makhluk perosak secara berkala selain diberikan pendidikan kesihatan.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, dewan makan sekolah akan beroperasi seperti biasa bagi memastikan penyediaan makanan kepada pelajar tidak terjejas.

Ends.