TIC, AG kerjasama anjur program lahir pakar AI

Berita Perak

IPOH: TAJ International College (TIC) menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat inovasi teknologi tempatan Aventra Group (AG) Sdn Bhd untuk melahirkan pakar kecerdasan buatan (AI).

Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajudin berkata, ia juga bagi membentuk ekosistem untuk membantu dasar serta haluan negara kerana ramai graduan tidak diberikan pekerjaan yang setimpal dengan bidang yang mereka ikuti di universiti ataupun di kolej.

Menurutnya, berdasarkan data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) terdapat lebih dua juta orang yang berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh (underemployed) di Malaysia.

“Kami bekerjasama dengan AG untuk membangunkan modul-modul yang akan dimasukkan di dalam program-program di
peringkat lepasan SPM, SKM maupun STPM,” katanya ketika ditemui selepas majlis TIC bersama pemain industri, baru-baru ini.

Hampir 100 pemain industri hadir termasuk pemilik syarikat dan wakil daripada agensi berkaitan.

Tina berkata, mereka mengenal pasti masalah berlakunya jurang kemahiran yang agak ketara dan bagi membangunkan kemahiran ekonomi, mereka perlu berpandangan jauh berkaitan kompetensi itu.

Menurutnya, sebagai permulaan, mereka memberi fokus untuk menawarkan 100 orang menyertai program pakar AI bermula bulan ini, yang akan dibangunkan dan dimentorkan sendiri oleh Naib Presiden Eksekutif (Sales) ASEAN, Dr. Faizal Shebli.

“Kita memang akan buat panggilan dan temuduga untuk kita memfokuskan mereka sebagai kumpulan sasaran

“Kita ingin melihat bakat-bakat muda di negeri Perak untuk pergi jauh dalam bidang ini,” ujarnya.

Jelasnya, kumpulan pertama 100 orang itu dijangka tamat pengajian dalam tempoh tiga tahun.

Sementara itu, Dr Faizal kombinasi antara AG dan TIC menjadi platform untuk menyelesaikan masalah underemployed.

“Pada saya hasil pertama ialah ia patut bermula daripada akademian seperti TIC dan berkembang ke industri.

“Jadi kita akan merangkumi daripada permintaan dan bekalan, barulah anak-anak kita mempunyai pekerjaan yang setimpal dengan bayarannya,” katanya.

Beliau yakin, dengan usaha berterusan yang dijalankan, bilangan dua juta underemployed mungkin dapat dikurangkan 50 peratus dalam masa yang agak terdekat.

Bagaimanapun, tambahnya ia masih bergantung kepada usaha sama antara industri dan juga ekonomi.

“Saya yakin 50 peratus boleh dikurangkan mungkin satu atau dua tahun daripada sekarang tetapi program seperti ini kena sentiasa ada bersama pihak akademia, barulah kita boleh maju ke hadapan,” ujarnya.