Tempoh 14 hari selesai lebih 40,000 saman tertunggak – JPJ

Berita Perak

IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi tempoh 14 hari, mulai Jumaat, kepada lebih seribu buah syarikat kenderaan perdagangan dan bas yang mempunyai lebih 20 saman tertunggak sejak 2023 untuk menyelesaikannya.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tempoh itu diberikan kepada 940 syarikat kenderaan perdagangan yang mempunyai 40,222 saman tertunggak dan lima syarikat bas dengan 373 saman, yang melibatkan kompaun lebih RM 12 juta.

Tegasnya, sekiranya masih ingkar, JPJ akan memburu syarikat-syarikat berkenaan, termasuk menyita kenderaan terlibat dalam Ops Tegar yang akan dilaksanakan selepas tempoh dua minggu.

“JPJ ingin menegaskan bahawa saman yang dikeluarkan tidak akan dibiarkan sekadar menjadi rekod.

“Jadi syarikat dan pemilik kenderaan juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab kepada pemandu semata-mata.

“Sebaliknya perlu memastikan kenderaan serta pemandu di bawah pengurusan masing-masing sentiasa mematuhi undang-undang,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai Op Tegar di JPJ Perak di sini, hari ini yang turut dihadiri kepimpinan tertinggi JPJ dan Pengarah Negeri dari seluruh negara.

Aedy Fadly berkata, Op Tegar membawa mesej yang jelas iaitu saman tertunggak mesti diselesaikan dan kesalahan berulang tidak sewajarnya menjadi satu kebiasaan.

Menurutnya, JPJ akan terus melaksanakan tindakan secara tegas, bersasar dan berterusan terhadap mana-mana pihak yang terus mengingkari undang-undang dan tiada lagi ruang untuk pesalah tegar terus mengabaikan saman.

Dalam masa sama, ujarnya, JPJ akan bekerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD)
untuk menggantung permit syarikat-syarikat berkenaan.

Menurutnya, senarai syarikat yang terlibat adalah yang kedua diumumkan, selepas kali pertama diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada Jun tahun lalu.

Ends.