SUNGAI SIPUT: Rumah kedai yang ditinggalkan kosong menjadi sasaran sindiket perlombongan Bitcoin apabila premis berkenaan dipecah masuk sebelum dijadikan pusat kegiatan berkenaan tanpa pengetahuan pemilik.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kegiatan itu terbongkar ekoran empat serbuan, masing-masing tiga di Sungai Siput dan satu di Seri Iskandar, Perak Tengah pada 31 Ogos lalu.

Menurutnya, dalam serbuan itu, sebanyak 168 unit mesin perlombongan Bitcoin serta peralatan berkaitan dirampas dalam premis rumah kedai yang dipercayai ditinggal lama.
“Dalam keadaan inilah rumah-rumah ni bila pihak-pihak suspek ni dapati rumah ni kosong lama, maka mereka gunakan.
“Dia orang pecah masuk dan dia orang gunakan rumah-rumah ini sebagai pusat ataupun tempat perlombongan Bitcoin.
“Dan biasanya mereka ni akan pasang mesin-mesin Bitcoin ni dan akan tinggalkan, tak ada penjagaan pun kerana hasil mereka akan mengalir secara online,” katanya.
Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, pada Rabu, Mohd Alwi berkata, dalam serbuan tersebut, polis turut memberkas seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun yang mengaku sebagai penjaga salah sebuah premis di Sungai Siput.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Menurutnya, Polis Kontinjen Perak memandang serius kegiatan seumpama itu kerana selain melibatkan aktiviti perlombongan Bitcoin tanpa kebenaran dan kecurian bekalan elektrik, ia juga boleh menyebabkan risiko kebakaran serta membahayakan keselamatan orang awam serta premis berhampiran.
Sehubungan itu, beliau menasihati pemilik premis supaya sentiasa membuat pemantauan, khususnya premis yang tidak berpenghuni atau disewakan bagi mengelakkan ia disalahgunakan untuk kegiatan jenayah.






