SUNGAI SIPUT: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang ditemui di bawah Jambatan Victoria, Kuala Kangsar pada Isnin.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 selain diklasifikasikan sebagai kematian mengejut atau SDR.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada beberapa saksi yang berada di tempat kejadian.
“Kertas siasatan kita buka di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak bersama dengan kita siasat di bawah kematian mengejut (SDR). Setakat itu kita masih lagi dalam siasatanlah.
“Tapi walau bagaimanapun apa yang kita daripada saksi-saksi yang ada, budak tu jatuh apabila yalah berjalan dia terjerumus dalam lubang jambatan tersebutlah, memang tak ada unsur-unsur khianat,” katanya.
Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, pada Rabu, Mohd Alwi berkata, pihaknya masih menunggu keputusan bedah siasat bagi membantu siasatan lanjut berhubung punca kematian mangsa.
Pada Selasa, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui maut di bawah Jambatan Victoria di Enggor, Sungai Siput pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa, Abdul Rafee Abdul Halim disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kangsar.





