SUNGAI SIPUT: Identiti mayat wanita yang ditemukan dalam beg pakaian di Sungai Perak, berhampiran Jambatan Sayong, Kuala Kangsar, bulan lalu masih menjadi misteri.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, daripada siasatan awal dan maklumat dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) polis percaya mangsa bukan warganegara Malaysia dan berumur dalam lingkungan 30-an.
“Motif apa semua kita belum lagi dapat kenalpasti dan kita dah pun buat menghantar beberapa spesimen mangsa pada forensik untuk apa ni siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, di sini, hari ini.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata, kes tersebut diklasifikan sebagai kes bunuh dan pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, polis percaya punca kematian mangsa adalah disebabkan lemas.
“Mangsa sebenarnya diikat, kemudian dimasukkan dalam beg dan dia dibuang ke dalam sungai, kita percayai itu yang berlaku,” ujarnya
Selain itu, tambahnya, muka mangsa juga ditutup dengan pelekat sebelum disumbat ke dalam beg pakaian berkenaan.
Mohd Alwi berkata, pihak polis akan bekerjasama dengan semua pihak, termasuk Jabatan Imigresen untuk mengenal pasti mangsa dan setakat ini tiada pihak yang tampil untuk mengecam mangsa dan barang-barang yang ditemui.
“Paling penting bagi pihak polis adalah mengenalpasti dahulu siapa (identiti),” ujarnya.
Pada 20 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Heisham Harun meminta bantuan orang ramai untuk mengenal pasti identiti mayat wanita berkenaan termasuk berdasarkan baju lengan panjang berbelang putih dan hitam serta seluar jeans hitam yang dipakai oleh mangsa yang turut memakai perhiasan anting-anting.
Mayat wanita itu ditemui pada petang 14 Ogos lalu susulan paras air cetek Sungai Perak.
Ends.





