IPOH: Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) di Bandar Meru Raya kini menawarkan satu lagi pilihan kepada masyarakat menerusi pembukaan Cabin Café Bean Here!, jenama kopi tempatan di bawah kendalian Silver Lifestyle Sdn Bhd (Silver Lifestyle), anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk).
Mengangkat konsep kabin yang santai dalam persekitaran rekreasi yang aktif, Bean Here! menyediakan pilihan makanan dan minuman yang ringkas, pantas serta menepati cita rasa semasa.
Lokasinya sesuai sebagai persinggahan selepas aktiviti seperti berjoging dan bersenam, atau selepas menghadiri acara di sekitar BSAS, di samping menjadi pilihan untuk meluangkan masa bersama keluarga dan insan
tersayang.
Pembukaan Cabin Café Bean Here! merupakan sebahagian daripada usaha mengoptimumkan penggunaan ruang dan kemudahan sedia ada di BSAS agar terus
relevan dengan keperluan masyarakat, selain memberi nilai tambah kepada aktiviti
ekonomi setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, YB Loh Sze Yee berkata, kehadiran jenama tempatan di lokasi rekreasi seperti BSAS bukan sahaja memberikan pilihan baharu kepada masyarakat, malah membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk berkembang.
“BSAS berpotensi untuk terus dikenali sebagai salah satu lokasi pilihan yang menawarkan ruang santai dan rekreasi, menggabungkan cita rasa serta gaya hidup masa kini untuk pelbagai peringkat umur.
“Pengunjung hari ini bukan sahaja mencari tempat untuk beriadah, tetapi turut menghargai pengalaman yang santai, menarik dan mempunyai identiti tersendiri.
“Usaha seperti ini selari dengan pendekatan Kerajaan Negeri untuk memperkukuh daya tarikan destinasi sedia ada, menggalakkan aktiviti ekonomi setempat dan
menjadikan Ipoh sebagai sebuah bandar yang terus menarik untuk dikunjungi,” katanya ketika merasmikan Cabin Café Bean Here! baru-baru ini.
Beliau berkata, penglibatan syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta dalam mengaktifkan ruang awam secara produktif juga penting bagi memastikan kemudahan rekreasi terus berkembang seiring dengan perubahan keperluan masyarakat dan pelancong.
Menurutnya, kehadiran Cabin Café Bean Here! turut memberi alternatif kepada pengunjung yang ingin berehat selepas melakukan aktiviti fizikal atau menghadiri program di sekitar BSAS.
“Pada masa yang sama, konsep kafe ini mengetengahkan budaya “mengopi” sebagai sebahagian daripada gaya hidup masa kini — sama ada untuk bertemu, bersosial, berehat atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan, seterusnya mencipta momen bersama dalam suasana yang “Instagrammable”,” ujarnya.
Cabin Café Bean Here! dibuka kepada pengunjung setiap Rabu hingga Ahad, dari jam 4 petang hingga 12 tengah malam.
Sementara itu, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, pembukaan Cabin Café Bean Here! merupakan sebahagian daripada
pendekatan PKNPk untuk mengoptimumkan penggunaan aset sedia ada serta mewujudkan nilai ekonomi yang lebih besar.
“Bagi PKNPk, pembangunan aset bukan sekadar membina atau memiliki kemudahan fizikal, tetapi bagaimana aset tersebut dimanfaatkan untuk memberi nilai tambah kepada negeri dan masyarakat setempat.
“BSAS telah sedia dikenali sebagai lokasi rekreasi dan riadah, dan kita mahu potensi tersebut terus dikembangkan. Kehadiran Cabin Café Bean Here! menambah satu lagi pilihan kepada pengunjung.
“Melalui Silver Lifestyle, kita juga mahu membina rantaian nilai yang lebih kukuh dalam sektor makanan dan minuman, di samping membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan dan pembangunan kemahiran masyarakat setempat, khususnya
golongan belia,” katanya.
Selain BSAS, Silver Lifestyle kini sedang memperluaskan rangkaian operasinya di beberapa lokasi strategik termasuk Perak Techno Trade Centre (PTTC), Kolej Poly-
Tech MARA (KPTM) Meru Raya, Hotel Casuarina@Meru dan UniKL Ipoh, menerusi pendekatan yang bersesuaian dengan lokasi dan keperluan pelanggan.
Pengarah Silver Lifestyle, Nur Ismail Mohammed berkata, pembukaan di
BSAS merupakan sebahagian daripada inisiatif syarikat untuk memperluaskan jenama Bean Here! secara berperingkat.
“Kami mahu Bean Here! dikenali sebagai jenama kopi tempatan yang dekat di hati masyarakat dan mempunyai keupayaan untuk terus berkembang secara mampan.
“Kami juga mengalu-alukan institusi yang berminat untuk meneroka peluang kerjasama bersama Bean Here!,” ujarnya.









