Mahasiswa UPSI julang nama Malaysia di Kejohanan Dunia ACP Amerika Syarikat

Berita Perak

IPOH: Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad mengharumkan nama Malaysia di pentas Kejohanan Dunia Adobe Certified Professional (ACP) yang berlangsung di Anaheim, California, Amerika Syarikat semalam.

Muhammad Fawwaz, penuntut Fakulti Komputeran dan META Teknologi (META) UPSI telah meraih tempat ketiga keseluruhan dari 203 peserta dari 45 buah negara.

Menurut kenyataan UPSI, Muhammad Fawwaz menerima hadiah wang tunai USD2,000 adalah pelajar program Pendidikan (Teknologi Maklumat)menawan pentas pertandingan anjuran Certiport International yang menguji kemahiran peserta dalam mereka bentuk poster kreatif menggunakan Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign.

Kejayaan cemerlang Muhammad Fawwaz Haiqal itu turut didukung bimbingan Ahmad Nurzid Rosli dari Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti META.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pencapaian Muhammad Fawwaz, bukan sahaja menyerlahkan keupayaan luar biasanya dalam pertandingan ini, malah turut mengangkat nama UPSI & Malaysia sebagai lubuk bakat digital bertaraf dunia.

“UPSI akan terus melahirkan bakat digital bertaraf antarabangsa melalui latihan dan pensijilan profesional.

“Di peringkat negara, kami berharap lebih banyak institusi bersama-sama memperkukuh pembangunan bakat digital demi menjadikan Malaysia sebagai antara peneraju kreativiti dan inovasi digital di rantau ini,” katanya dalam yang sama.

Sementara itu, Pengurus Kontingen Malaysia, Natalie menyifatkan bahawa edisi tahun 2026 merupakan pencapaian terbaik bagi kontinjen Malaysia.

Menurutnya, buat pertama kali Malaysia meraih tiga anugerah utama iaitu tempat ketiga yang dimenangi oleh Muhd Fawwaz dan juga tempat keempat dan People’s Choice Awards yang dimenangi oleh Muhammad Nafiz Asyraaf Mohd Nazrin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak.

Katanya, ini adalah tahun kelima Kontinjen Malaysia mencatatkan keputusan podium di Kejohanan Dunia ACP yang amat berprestij itu.