ANGKASA sasar 1,000 koperasi masjid menjelang hujung tahun

Berita Perak

IPOH: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mensasarkan penubuhan 1,000 koperasi masjid di seluruh negara menjelang hujung tahun ini bagi memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti Islam serta memperluaskan akses perkhidmatan kepada penduduk luar bandar.

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini terdapat sekitar 700 atau 10 peratus daripada 6,900 buah masjid seluruh negara telah menubuhkan koperasi.

Menurutnya, dengan penubuhan lebih banyak koperasi masjid, termasuk di luar bandar, ia dapat memanfaatkan pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan seperti Program Jualan Rahmah (PJR) yang semakin kerap diadakan.

Katanya, penubuhan lebih banyak koperasi masjid juga membolehkan kedai runcit milik koperasi menjadi pusat penebusan bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Tunai Rahmah (BTR) sekali gus mengurangkan beban kos perjalanan penduduk luar bandar ke bandar.

“Sekarang ini, penerima bantuan kena pergi ke kedai-kedai di bandar yang melibatkan kos tambahan seperti minyak motosikal dan sebagainya.

“Jadi kalau dia dapat RM100, sebenarnya dia tak dapat RM100 kerana perlu membayar kos tambahan itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-39 Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad di sini, hari ini.

Abdul Fattah berkata, koperasi masjid perlu digerakkan sebagai koperasi komuniti dengan penglibatan lebih ramai usahawan, golongan profesional, wanita dan belia dalam pengurusannya.

Menurutnya, ANGKASA mencadangkan hanya satu pertiga daripada lembaga koperasi dianggotai jawatankuasa masjid, manakala bakinua perlu terdiri daripada ahli kariah yang aktif serta mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan dan profesional.

“Masjid harus menjadi pangkalan pembangunan ekonomi kariah. Apabila pembangunan ekonomi digerakkan melalui masjid, masyarakat akan lebih yakin dan memberi sokongan terhadap aktiviti yang dijalankan.

“Apabila masjid mempunyai kedai runcit yang diuruskan koperasi, masyarakat bukan sahaja datang mendapatkan keperluan harian malah dapat mengimarahkan masjid kerana mereka turut singgah untuk menunaikan solat,” katanya.

Beliau berkata, Pahang dan Perak merupakan antara negeri yang menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memperluaskan penubuhan koperasi masjid hasil kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, inisiatif yang diperkenalkan sejak 2010 itu memerlukan komitmen berterusan daripada jawatankuasa masjid dan komuniti setempat bagi memastikan koperasi dapat berfungsi secara mampan.

Mengulas kejayaan model tersebut, Abdul Fattah berkata, beberapa negeri termasuk Kedah telah melantik koperasi masjid menguruskan kedai runcit yang menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf menggunakan peruntukan Baitulmal.