TELUK INTAN: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dua remaja perempuan dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Padang Tembak di sini Ahad lalu.
Alex Robert, 28, yang memandu kereta semasa kejadian mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja swasta di Singapura didakwa membunuh Nur Dania Arissa Salim, 17, dan Nur Atikah Abdullah, 16, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia di Jalan Padang Tembak dalam daerah Hilir Perak kira-kira jam 6.35 petang pada 26 Julai 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman gantung, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pada prosiding sama, tertuduh yang masih bujang mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah dan tanpa kecermatan hingga mengakibatkan kecederaan kepada dua mangsa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemandu kenderaan jenis Honda Civic didakwa menyebabkan kecederaan kepada seorang pejalan kaki, Adam Arjuna Abdullah, 7.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun serta denda antara RM30,000 hingga RM50,000.
Tertuduh juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang tujuh tahun dari tarikh sabitan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu tanpa kecermatan dan perhatian sewajarnya sehingga menyebabkan kemalangan kepada seorang lagi mangsa, A Suresh, 50.
Kesalahan tersebut didakwa di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala tertuduh diwakili Peguam Koh Shean Wai.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh seperti dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat mangsa, laporan toksikologi tertuduh serta laporan perubatan berkaitan.
Terdahulu, tertuduh telah ditahan polis bagi siasatan lanjut selepas saringan awal air kencing mendapati positif dadah jenis benzodiazepine dan disyaki memandu di bawah pengaruh dadah ketika kejadian berlaku.
Media melaporkan, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.
Keadaan itu menyebabkan kereta terbabit melanggar sebuah motosikal dan sebuah kenderaan lain yang berada di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.
Akibat kemalangan itu, dua remaja perempuan yang penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kanak-kanak lelaki yang mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu dilaporkan selamat menjalani pembedahan pada bahagian kepala dan kini sedang menjalani rawatan lanjut di hospital.





