Empat pencarum di Perak terima faedah skim LINDUNG 24 Jam PERKESO

Berita Perak

IPOH: Empat pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di Perak menerima faedah di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) susulan empat kejadian berasingan baru-baru ini.

Menurut kenyataan PERKESO, ia
sekali gus memperlihatkan kepentingan perlindungan keselamatan sosial yang berterusan di luar waktu bekerja.

Katanya, kes pertama melibatkan seorang pekerja pembersihan, Nor Izzati Mohd Fazil, 27, yang terlibat dalam kemalangan jalan raya aabila terlanggar seekor kerbau ketika dalam perjalanan pulang dari Festival Makanan Meru ke rumahnya di Bota, Perak pada 4 Jun lalu.

“Nor Izzati mengalami patah tangan kanan, kecederaan melecur pada tapak kaki kanan serta luka di bahagian kening sebelum menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, hasil semakan mendapati wanita tersebut layak menerima Gantian Belanja Perubatan bagi menampung kos pembedahan implan jenis LCP Straight 3.5mm Plate bernilai RM2,700.

“Beliau turut menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) berjumlah RM846 bagi tempoh 4 Jun hingga 20 Julai 2026 sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh tidak berupaya bekerja,” ujarnya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan pada 8 Jun lalu, seorang operator kilang, R. Prem Raja, 24, mengalami patah paha kanan selepas motosikalnya dilanggar sebuah kereta yang keluar secara tiba-tiba dan menjalani pembedahan implan di HRPB pada 11 Jun 2026.

“Sebagai pencarum LINDUNG 24 Jam, Prem Raja layak menerima FHUS berjumlah RM1,368, di samping kos rawatan dan pembedahan implan bernilai RM1,500 ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO,” katanya.

Bagi memastikan faedah dapat disalurkan dengan pantas, Skuad PERKESO Prihatin menerusi program Ziarah Prihatin bertindak turun padang melawat pencarum di hospital.

Selain itu, kata kenyataan tersebut, seorang Pengurus Sumber Manusia, Liau Chiew Ling, 60, juga layak menerima FHUS apabila lengannya cedera, ketika menaiki sistem transit aliran ringan (LRT) di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu.

“Ketika kejadian, pergerakan tren yang bergoyang menyebabkan lengan beliau bergesel dengan bucu jam tangan seorang penumpang lain sehingga mengakibatkan kulit lengannya terkoyak,” ujarnya.

Tambahnya, lelaki itu menerima rawatan di klinik swasta diberikan cuti sakit selama lima hari, bermula 27 Jun hingga 1 Julai dan menerima bayaran FHUS berjumlah RM90 sepanjang tempoh pemulihan tersebut.

Dalam satu lagi insiden berasingan, seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Muhamad Amin Mustaza, 37, menerima faedah sama selepas terjatuh dari pokok rambutan ketika bercuti di rumah ibunya pada 28 Jun lalu dan mengalami beberapa kecederaan pada anggota badan.

“Beliau kemudiannya menerima rawatan di Klinik Anda 24 Jam, Kamunting dan hasil semakan mendapati beliau layak menerima FHUS berjumlah RM72 bagi tempoh cuti sakit dari 29 Jun hingga 2 Julai 2026,” katanya lagi.

PERKESO memaklumkan, keempat-empat kejadian itu menunjukkan bahawa risiko kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja, termasuk ketika dalam perjalanan, menggunakan pengangkutan awam, bercuti atau melakukan aktiviti bersama keluarga.

“Perlindungan keselamatan sosial secara menyeluruh selama 24 jam amat penting bagi membantu pekerja menghadapi implikasi kewangan apabila ditimpa musibah secara tidak dijangka.

“Sama ada ketika beriadah, pulang ke kampung atau menjalani rutin harian, PERKESO komited memastikan pencarum yang layak menerima perlindungan, rawatan dan gantian pendapatan yang diperlukan bagi meneruskan kehidupan,” kata kenyataan itu.