Banjir kilat landa Kuala Kangsar, sebuah kereta dihanyut air

Berita Perak

IPOH: Hujan lebat lebih sejam menyebabkan berlaku banjir kilat di Kampung Piol, Manong, Kuala Kangsar awal pagi ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 999 mengenai kejadian itu pada 4.13 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar ke lokasi.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian didapati berlaku kejadian banjir kilat anggaran kedalaman kira-kira 0.3 meter (satu kaki) yang telah menenggelami jalan raya.

“Terdapat sebuah kereta yang dihanyutkan oleh air dan pemandu di dalam kenderaan tersebut telah berjaya keluar dengan sendiri sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, terdapat rumah yang dinaiki air tetapi tiada pemindahan mangsa dilakukan memandangkan paras air yang semakin surut dan hujan telah berhenti.

Katanya, ketua operasi melakukan size up dan mengarahkan anggota melakukan pemantauan disekitar bagi memastikan keselamatan penduduk kampung yang terkesan.

Menurutnya, pihak polis telah melakukan kawalan lalu lintas bagi mengelakan kenderaan ringan tidak melalui kawasan jalan raya yang masih terjejas dengan banjir.

Operasi yang melibatkan lapan anggota bomba terkawal jam 5 pagi dan tamat jam 6.39 pagi.