TIC jelajah 66 sekolah di Kinta Utara, Selatan, kejutan hadiah Hari Guru

Berita Perak

IPOH: Sebanyak 66 buah sekolah menerima sumbangan menerusi program Jelajah 66 SMK Kinta Utara dan Selatan TIC Sempena Hari Guru 2024.

Idea julung-julung kali itu dizahirkan oleh Pengarah Eksekutif Taj International College (TIC), Tina Tajuddin.

Katanya, komitmen itu antara lain sebagai langkah TIC untuk mengiktiraf usaha serta memperkukuh sokongan terhadap komuniti pendidikan.

“TIC mengorak langkah agresif dalam menghargai perjuangan para guru di SMK Kinta Utara dan Selatan dengan menyampaikan sendiri hadiah kepada pihak sekolah.

“Kita anjurkan jelajah ini selama dua hari di 66 sekolah berkenaan bagi menzahirkan penghargaan kepada warga pendidik di Perak.

“Kita turut sambut Hari Guru bersama-sama 7,000 warga pendidik dan pelajar.

“Alhamdulillah, inisiatif ini mendapat sambutan baik daripada pentadbir serta para guru dan mereka meluahkan rasa terima kasih tidak terhingga di atas penghargaan ini.

“TIC berhasrat untuk terus menyokong guru dan pelajar melalui pelbagai inisiatif termasuk Program Pembangunan Profesional dan Projek Kolaboratif yang lebih efisien tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Negeri Perak, Shamsahhimi Harun berkata, usaha yang dilakukan oleh TIC itu bertepatan dalam memberi motivasi kepada pendidik.

“Saya rasa terharu kerana ramai yang sentiasa menyanjung tinggi pengorbanan guru, dan kehadiran mengejut pihak TIC ini tentunya memberi suntikan semangat kepada kami untuk terus menabur bakti,” katanya.

Beliau yang juga merangkap Pengetua SMK Anderson Ipoh berharap supaya lebih ramai memberi semangat dan sokongan buat warga pendidik di masa akan datang.