Dua maut, lima cedera nahas MPV, kereta di Lenggong

Berita Perak

IPOH: Dua orang maut manakala lima lagi cedera dalam nahas yang melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Odessey dan sebuah kereta jenis Toyota Vios, berhampiran Restoran Tasik Raban di Lenggong, hari ini.

Mangsa yang maut seorang guru, Zuraida Abu Bakar, 47, penumpang belakang Honda Odessey dan pemandu Toyota Vios, Melvindar Singh Gamum Singh, 41.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 4.57 petang sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong ke lokasi. 

“Terdapat mangsa yang tersepit di dalam kedua-dua kenderaan dan disahkan maut di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, lima lagi mangsa yang cedera, kesemua guru wanita, menaiki Honda Honda Odessey. 

Menurutnya, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan Konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidrolik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan. 

Katanya, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala yang cedera diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan selanjutnya.

Operasi terkawal pada jam 5.40 petang dan tamat sepenuhnya pada jam 6.12 petang.

Ends