BATU GAJAH: Pusat Koreksional Batu Gajah dan Hospital Batu Gajah di Perak menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) kerana penganjuran kursus asas sokongan hayat (BLS) bertauliah yang pertama kali untuk banduan di negara ini.
Program kerjasama strategik kedua-dua agensi dengan itu melibatkan 42 penghuni penjara terdiri daripada 12 lelaki dan 30 wanita yang dipilih selepas melalui proses temuduga.
Pengarah Penjara Negeri Perak, Fayrouz Ahmad Zawawi berkata, latihan yang diberikan merangkumi pembelajaran teori, latihan amali serta penilaian melalui peperiksaan yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Dari segi pengetahuan dan pengalaman kemahiran yang dia dapat tu sekurang-kurangnya prospek ni dia boleh membantu untuk menyelamatkan prospek yang lain.
“Dan dia boleh gunakan sijil tu diluar lah, selepas prospek ni dibebaskan,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Penutup Kursus BLS dan Automated External Defibrillator (AED) serta penyampaian sijil MBOR kepada kedua-dua agensi itu pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah Hospital Batu Gajah, Dr J Jayakumaran berkata, kesemua 42 prospek telah lulus sepenuhnya dan diiktiraf sebagai pengamal BLS.
“Sebenarnya idea ni tercetus apabila kami memikirkan satu program yang boleh menjadi manfaat kepada prospek-prospek di sini sebab Hospital Batu Gajah betul-betul jiran sebelah dengan Pusat Koreksional Batu Gajah.
“Ini adalah program buat julung kalinya di negara ini dan tidak pernah ada latihan bertauliah basic life support untuk prospek,” ujarnya.


Beberapa peserta yang ditemui menyifatkan kursus tersebut sebagai pengalaman berharga yang memberi makna besar dalam hidup mereka.
Lyn (bukan nama sebenar) berkata, program itu sangat bermakna kerana mereka juga boleh membantu orang lain.
“Selalunya, kita tengok orang dapat selamatkan orang lain dan kita hanya jadi seorang pemerhati saja.
“Tapi apabila kita orang dapat satu pembelajaran yang sangat bagus macam ni, mencipta satu idea untuk kita orang bila keluar nanti satu mungkin boleh membantu orang lain dan masyarakat dekat luar sana dan keluarga,” tambahnya.
Seorang lagi peserta, Shaq (bukan nama sebenar), pula berkata, sijil yang diperolehi boleh digunakan untuk membina hidup baharu.
“Sijil yang saya dapat tu kemudian boleh saya guna kat luar nanti untuk saya dapatkan kerja yang terbaik untuk saya.
“Ini satu perubahan untuk saya dan kebaikan untuk saya,” katanya.





