Dua anggota polis cedera diserang, suspek dipercayai penagih diburu

Berita Perak

GAMBAR HIASAN

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat mengesan seorang suspek, dipercayai penagih dadah, yang melarikan diri selepas menyerang dan mencederakan dua anggota polis yang cuba menahannya dalam kejadian di Kampung Sungai Jernih, Ijok, Selama, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pelbagai tindakan telah diambil termasuk melaksanakan Ops Tutup di laluan keluar dan masuk sekitar kawasan kejadian, bagi mengesan pergerakan suspek.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya dalam kenyayaan di sini.

Terdahulu, Mohd Alwi berkata, kira-kira jam 12 tengah hari semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama telah menetima maklumat mengenai seorang lelaki yang dipercayai penagih dadah berada dalam pondok di tepi sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Jernih Ijok.

Menurutnya, bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Selama telah menjalankan pemantauan di lokasi sebelum bertindak membuat tangkapan terhadap suspek.

“Semasa proses tangkapan dijalankan, suspek telah bertindak aggresif dengan menyerang pihak polis menggunakan senjata tajam dipercayai pisau sebelum melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, orang pegawai rendah polis berpangkat sarjan berumur 44 tahun dan konstabel berumur 22 tahun telah mengalami kecederaan akibat bergelut dengan suspek.

Tambahnya, kedua-dua anggota polis ith sedang mendapatkan rawatan di hospital dan mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan IPD Selama di talian 05-8395999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Ends.