Lebih 800 barang kes bernilai RM250,000 dilupuskan

Berita Perak

SERI ISKANDAR: Sebanyak 830 barang kes bernilai lebih RM250,000 dilupuskan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, kesemua barang itu adalah melibatkan 60 kertas siasatan yang telah selesai dari segi perundangan sejak 2024 hingga sekarang.

Menurutnya, antara kategori utama yang dilupuskan adalah berkaitan aktiviti perlombongan bitcoin secara haram melibatkan 554 unit mesin bitcoin, masing-masing 24 unit suis dekstop dan router internet serta 26 unit kabel, daripada 25 kertas siasatan.

“Selain itu, pelupusan turut melibatkan pelbagai barang kes seperti motosikal, peralatan judi, rokok tidak bercukai dan peralatan yang digunakan dalam aktiviti jenayah.

“Kesemua barang kes telah mendapat arahan pelupusan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.

“Secara keseluruhannya, anggaran nilai barang kes yang dilupuskan adalah berjumlah RM250,200,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Majlis Pelupusan Barang Kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Seri Iskandar, yang disempurnakan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perak, Senior Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid.

Menurutnya, nilai itu menggambarkan kejayaan pihak polis dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang serta membenteras pelbagai aktiviti jenayah yang berlaku di daerah Perak Tengah dan kawasan sekitarnya.