IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar seorang pelajar Tingkatan 1, terjatuh dari bangunan sebuah sekolah menengah di sini, hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, setakat ini pihak polis masih mengumpul keterangan daripada saksi-saksi dan meneliti semua aspek berkaitan.
Menurutnya, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah menerima maklumat melalui talian kecemasan 999 berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.49 petang.
“Pihak polis dan perubatan telah digerakkan ke lokasi bagi memberi bantuan dan menjalankan siasatan awal.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian itu.
Pihak polis memohon agar privasi mangsa, keluarga dan pihak sekolah dihormati sepanjang tempoh siasatan dan rawatan.
Mohd Alwi berkata, kerjasama semua pihak amat dihargai bagi memastikan kebajikan mangsa dan keluarga terus terpelihara.
Beliau memberi jaminan pihak polis juga akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh serta sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.





