SUNGAI SIPUT: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) Nurul Hidayah bagi membantu dan menjadi pemangkin membawa perubahan kepada masyarakat Orang Asli.
Baginda bertitah, penubuhan sekolah itu merupakan mercu tanda penting untuk memperkasakan pembangunan modal insan dan pendidikan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri Perak.
Titah baginda, bermula dengan pusat pengajian dakwah dan fardu ain, ia berkembang sehingga menjadi pusat pendidikan pertama di Perak yang menyediakan kurikulum seragam bagi pembelajaran akademik dan agama.


“Setelah melalui tempoh masa lebih tiga dekad, sekolah ini telah melakar legasi dan sejarah, serta mencipta kejayaan membangunkan masyarakat Orang Asli, khususnya di Negeri Perak,” titah baginda ketika merasmikan Sekolah Menengah Agama Rakyat Nurul Hidayah, Kampung Kenang, Sungai Siput Utara pada Selasa.
Sultan Nazrin bertitah, penubuhan sekolah itu bukan sekadar pembinaan sebuah institusi pendidikan, tetapi merupakan pelaburan besar untuk membantu menyediakan masa hadapan yang lebih baik kepada anak-anak Orang Asli.
Selain itu, tambah bagindah, majlis perasmian itu bukan sekadar majlis perasmian sebuah institusi pendidikan semata-mata
Sebaliknya, jelas baginda ia meraikan pencapaian daripada usaha gigih berakarkan azam ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’, dan merayakan kejayaan berteraskan semangat ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian’ yang mengambil masa 32 tahun sejak penubuhan Sekolah Agama Rakyat Orang Asli pada hari Jumaat, 1 Ramadan 1414 hijrah, bersamaan 11 Februari 1994.
Menurut baginda, majlis perasmian itu adalah manifestasi komitmen Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, untuk membantu merealisasikan wawasan negara dalam memastikan setiap anak, tanpa mengira latar belakang atau lokasi geografi, mempunyai peluang yang sama untuk menimba ilmu, membina masa hadapan dan akhirnya berpeluang memberi sumbangan yang bermakna kepada agama, bangsa dan negara.



Sultan Nazrin bertitah, baginda disembah maklum bahawa idea pembinaan sekolah itu tercetus daripada pemikiran dinamik dan pandangan jauh Allahyarham Ustaz Halimin Abdolah ketika menggalas amanah sebagai Penyelia Mubaligh Islam Negeri Perak.
Ujar baginda, Sekolah Menengah Agama Rakyat Nurul Hidayah mempunyai peranan yang amat strategik dalam landskap pendidikan di Perak, yang bukan sahaja berjaya membangunkan modal insan berilmu, malah merupakan benteng utuh yang memelihara akidah, syariat, dan akhlak generasi muda.
Baginda berharap prasarana baharu sekolah itu akan menyuntik semangat barisan pendidik untuk mempertingkatkan mutu pengajaran, sekali gus menyalakan azam yang lebih membara dalam kalangan pelajar untuk menuntut ilmu.





