Tiada masalah tindakan Bersatu – Ahli Parlimen Kuala Kangsar

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid berkata, beliau tiada masalah dengan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mengambil tindakan terhadapnya kerana menyokong Perdana Menteri.

Menurutnya, beliau masih menunggu surat dari Ibu Pejabat Bersatu pusat berhubung perkara tersebut.

“Tak ada masalah, pada saya apa yang saya lakukan adalah untuk memastikan Kuala Kangsar ni, rakyat Kuala Kangsar ni akan dijaga oleh saya dan saya memerlukan peruntukan untuk memastikan masyarakat dan perkara-perkara yang dibawa oleh masyarakat Kuala Kangsar ni dapat saya tunaikan.

“Alhamdulillah, peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan Persekutuan, akan saya gunakan sebaik mungkin untuk memastikan masyarakat Kuala Kangsar sentiasa dijaga dan dibela di bawah saya,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada penduduk Kampung Semat, Manong, Kuala Kangsar, pada Selasa.

Iskandar Dzulkarnain memberi jaminan peruntukan yang diterima daripada kerajaan Persekutuan akan digunakan sebaik mungkin, khususnya untuk menjaga kebajikan rakyat.

Sepanjang program hari ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar untuk menyerahkan bantuan beras kepada lebih 1,000 penduduk beberapa buah kampung di sekitar Manong.

Pada Jumaat, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan terhadap enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diambil selepas Aidilfitri nanti.

Menurutnya, semua wakil rakyat itu bebas membuat tafsiran sendiri terhadap pindaan perlembagaan parti itu yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) baru-baru ini.