TAPAH: Penjara Tapah menjadi lokasi kedua bagi Program Pertanian Bandar yang dirintiskan bermula di Rumah Seri Kenangan Seri Iskandar, Februari lalu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun, kira-kira RM20,000 diperuntuk bagi setiap program itu di daerah yang terbabit.
Ujarnya lagi, ia turut akan diperluas ke seluruh daerah di negeri ini secara berperingkat.
“Selepas projek rintis itu, program itu kini diperluaskan ke Penjara Tapah dengan melibatkan tanaman tembikai.
“Projek tanaman itu menggunakan kaedah fertigasi di atas tanah seluas 2.47 hektar dengan membabitkan lebih 1,500 benih pokok
“Kerajaan negeri percaya bahawa setiap individu, termasuk mereka yang sedang menjalani hukuman, berhak diberikan peluang untuk memperbaiki kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pertanian Bandar di Penjara Tapah.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Penjara Negeri Perak, C Charin Promwichit.
Tambahnya, usaha itu bertujuan menyediakan kemahiran pertanian yang berguna kepada penghuni penjara.
“Pada masa sama, ia memberi mereka peluang membina semula keyakinan diri, mengukuh nilai disiplin dan memberi laluan ke arah kehidupan yang lebih baik selepas dibebaskan,” katanya.
Beliau optimis projek pertanian bandar itu mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada komuniti malah kepada 4,000 penghuni dan 500 kakitangan penjara berkenaan.
“Saya difahamkan, Penjara Tapah turut menerima inisiatif Kerajaan dengan pelaksanaan program Upskilling Agro-Mas Peka Madani 2024.
“Ia memberi tumpuan kepada tanaman ubi kayu, kelapa matag, pisang tanduk, dan kelapa sawit di kawasan seluas 45.6 hektar,”katanya.
Mohd Zolkafly memberitahu, Program Pertanian Bandar melibatkan tanaman tembikai wangi di Seri Iskandar pada Februari lalu berjaya mengeluarkan hasil.
“Satu kitaran tanaman selama 75 hari, setiap pokok boleh menghasilkan dua buah seberat 2 kilogram (kg).
“Dengan hasil 160 kg per kitaran dan harga pasaran antara RM10 hingga RM15 sekilogram, program ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, tetapi juga membuka peluang ekonomi kepada peserta,” katanya lagi.


