Perak sumbang 396 ekor lembu untuk program korban

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri Perak meneruskan tradisi menyalurkan sumbangan sempena ketibaan Aidiladha tahun ini dengan mengagihkan 396 ekor lembu korban bernilai RM2.89 juta hasil sumbangan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, GLC berkenaan ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri sebanyak 231 ekor, Lembaga Air Perak (50 ekor), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (50 ekor), Perbadanan Menteri Besar (40 ekor) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak sebanyak 25 ekor.

Menurutnya, semua 59 kawasan Dewan UndanganNegeri (DUN), termasuklah DUN Pembangkang akan menerima lima ekor dengan jumlah keseluruhan 295 ekor lembu, manakala 101 ekor lagi akan diagihkan kepada masjid, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Jabatan Mufti Negeri Perak juga akan mengeluarkan satu garis panduan khusus yang menumpukan aspek wakalah atau kontrak antara pihak-pihak yang terlibat bagi memastikan pelaksanaan program ini berlandaskan tuntutan syarak,” katanya selepas majlis akad penyerahan lembu kerajaan di pejabatnya di sini, hari ini.

Saarani berkata, pelaksanaan ibadah korban juga perlu mematuhi peraturan lain yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Perak dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar demi memastikan kelancaran dan ketertiban program yang dijalankan.