UMNO Ipoh Timor tuntut kerusi DUN Tebing Tinggi

Berita Perak

IPOH: UMNO Bahagian Ipoh Timor meluluskan usul agar mereka diberi ruang untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Usul diluluskan sebulat suara pada Mesyuarat Agung yang diadakan di Bangunan UMNO Perak, di sini, semalam yang dirasmikan Ketua Bahagian, Datuk Azian Osman.

Menurut usul itu, suara dan denyut nadi akar umbi UMNO Bahagian
Ipoh Timor meletakkan kemenangan Barisan Nasional (BN) sebagai matlamat tertinggi di DUN Tebing Tinggi, sebagai satu anjakan strategik yang drastik dan wajib dilaksanakan segera.

“Formula mutlak untuk merampas dan memenangi kerusi DUN Tebing Tinggi menuntut BN untuk meletakkan calon yang bukan sahaja berwibawa dan berkelayakan tinggi, malah diyakini sepenuhnya serta boleh diterima oleh majoriti pengundi tempatan,” katanya.

Menurut usul itu, realiti sentimen rakyat di Tebing Tinggi serta peralihan demografi pengundi terkini mendesak perwakilan yang lebih mapan, keutamaan kini
terarah kepada kepimpinan Melayu yang kompeten.

Tambahnya, berbekalkan rekod
cemerlang UMNO yang konsisten mendampingi rakyat tanpa mengira sempadan kaum, sudah tiba masanya tanggungjawab dan mandat di kawasan ini diserahkan secara mutlak kepada UMNO.

“Menginsafi cabaran landskap politik, sosial, dan ekonomi semasa, rakyat di DUN Tebing Tinggi mendahagakan kepimpinan yang progresif, berdaya saing, dan berkesan.

“Keperluan ini hanya dapat dipenuhi oleh calon UMNO yang disokong penuh oleh jentera parti yang ampuh, kelengkapan logistik yang teratur, dan pasukan akar umbi yang sentiasa bersiap siaga. Kekuatan struktur dan organisasi inilah yang akan menjamin keupayaan BN untuk mentadbir urus dengan cemerlang,” ujarnya.

Berdasarkan perincian fakta dan realiti politik semasa, UMNO Bahagian Ipoh Timor sebulat suara mengambil ketetapan tegas menggesa kepimpinan Tertinggi UMNO dan Barisan Nasional di peringkat Negeri dan Pusat agar menyusun semula serta
memuktamadkan pembahagian kerusi PRU-16 dan meletakkan calon dari UMNO meletakkan calon dari UMNO untuk bertanding di DUN Tebing Tinggi.

Menurut usul itu lagi, keputusan pembahagian kerusi wajib bersandarkan kepada fakta demografi pecahan pengundi, realiti sokongan semasa, dan kebolehmenangan (winnability)
parti yang akan bertanding. Berlandaskan asas-asas kukuh ini, usul ini dibawa ke hadapan untuk diterima dan diluluskan tanpa kompromi.

Kerusi DUN Tebing Tinggi kini diwakili Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari.

Pada PRU-14, beliau memenangi kerusi tersebut menewaskan calon MCA, Khoo Boon Chuan dan PAS Mazlan Md Isa dengan majoriti 3,927 undi.

Beliau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti lebih kecil iaitu hanya 660 undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Perak pada 2022.