Kelab Bakti Gunung Kledang anjur kursus digital, perkasa komuniti

Berita Perak

IPOH: Seramai 35 orang peserta mengambil peluang mengikuti Kursus Digital Kreatif: Pemantapan Usahawan Bagi Media Sosial anjuran Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) bagi mendalami ilmu pemasaran menerusi platform media sosial.

Presiden KBGK, Ismail Mohamed Yusoff berkata, program yang dilaksanakan secara percuma itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi memperkasakan kemahiran digital dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, program itu memberi tumpuan kepada golongan yang kurang mendapat pendedahan seperti Orang Asli, orang kurang upaya (OKU), anak yatim, pusat tahfiz dan komuniti yang memerlukan peluang meningkatkan kemahiran.

“Program ini selaras dengan aspirasi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang memberi penekanan terhadap pemerkasaan TVET.

“Kemahiran merupakan aset paling bernilai pada masa kini. Individu yang memiliki ilmu, kemahiran dan kesediaan menyesuaikan diri dengan perubahan akan menjadi peneraju dalam ekonomi masa depan,” katanya.