Dua mangsa, termasuk bayi terjatuh Jambatan Sultan Nazrin Shah ditemukan lemas.

Berita Perak

IPOH: Dua mangsa, termasuk seorang bayi yang dilaporkan terjatuh daripada Jambatan Sultan Nazrin Shah, yang merentangi Sungai Perak di Bagan Datuk, semalam, ditemukan lemas hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidun berkata, mayat Mohd Nor Ferdaus Mohd Mokhtar, 42, ditemui terapung pada jam 11.59 pagi, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi dia terjatuh.

Menurutnya, mayat Wong Long Hee, 2, pula ditemui pada jam 2 petang, kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia terjatuh.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Teluk Intan bagi urusan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Semalam, media melaporkan seorang wanita maut manakala seorang lelaki dan seorang bayi lelaki masih hilang selepas dipercayai terjatuh daripada Jambatan Sultan Nazrin Shah, yang merentangi Sungai Perak di Bagan Datuk.

Lim Li Yin, 38, meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Bagan Datuk manakala bayi yang dikenali sebagai Wong Long Hee, dan Mohd Nor Ferdaus Mohd Mokhtar, dilaporkan hilang.

Sayani berkata, pihaknya menerima maklumat dari pihak polis pada 11.36 pagi semalam yang menyatakan terdapat seorang lelaki dipercayai jatuh dari jambatan dan
motosikal jenis Modenas Z15 GT milik mangsa berada di bahu jalan di atas jambatan.

Menurutnya, kira-kira jam 7.15 malam pula, ketua operasi mendapat makluman dari pihak polis terdapat seorang wanita dewasa bersama dengan seorang bayi telah terjatuh dari jambatan yang sama.

“Tindakan pantas bot bomba telah dapat menyelamatkan mangsa wanita yang terapung namun bayi terlibat tidak ditemui,” ujarnya

Katanya, anggota bomba telah memberi bantuan pernafasan (CPR) kepada wanita berkenaan sebelum di hantar ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk menggunakan ambulan Angkatan Pertahanan Awam.

Bagaimanapun, ujarnya, pihaknya menerima maklumat mangsa wanita tersebut telah meninggal dunia ketika menerima rawatan dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk proses bedah siasat.

Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 8.20 malam tadi kerana keadaan cuaca serta faktor keselamatan dan akan disambung jam 8 pagi tadi.