Cuaca panas melampau jejas 15,000 hektar tanaman padi di Perak Tengah

Berita Perak

PARIT: Cuaca panas melampau yang berlarutan telah menjejaskan kawasan tanaman padi seluas 15,000 hektar di daerah Perak Tengah apabila pesawah berdepan masalah kekurangan bekalan air.

Keadaan itu turut menyebabkan mereka tidak dapat menanam padi pada musim pertama yang sepatutnya bermula Mac lalu.

Wakil pesawah, Nurfitri Amir Muhammad, 42, berkata, keadaan diburukkan lagi apabila kemudahan rumah pam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Teluk Bakong didakwa tidak berfungsi sepenuhnya berikutan masalah penyelenggaraan.

“Difahamkan, daripada tiga pam yang terdapat di lokasi berkenaan, hanya satu beroperasi menyebabkan bekalan air ke sawah tidak mencukupi ketika cuaca kering,” katanya ketika ditemui di Lambor Kanan, di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) bulan Julai merupakan tempoh kemarau yang lebih ketara atau fenomena El Nino.

Oleh sebab itu, ujarnya, sepatutnya persediaan telah dibuat oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari segi bajet untuk penyelenggaraan infrastruktur seperti rumah pam.

“Apabila pam rosak dan mengambil masa berbulan-bulan untuk dibaiki, pesawah menanggung kerugian, malah subsidi kerajaan juga menjadi tidak berkesan,” tambahnya.

Beliai yang juga Setiausaha Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) berkata, corak cuaca ketika ini yang menyaksikan hujan lebat diikuti tempoh kering selama dua hingga tiga minggu turut menjejaskan pertumbuhan tanaman padi.

Menurutnya, keadaan itu memberi kesan lebih besar kepada pesawah yang mengusahakan padi organik sepertinya kerana kawalan rumpai bergantung sepenuhnya kepada bekalan air.

Nurfitri berkata, kelewatan musim penanaman turut menyebabkan sebahagian pesawah mengambil keputusan untuk tidak mengusahakan sawah kerana kekangan modal dan peningkatan kos.

“Di kawasan Lambor sahaja dianggarkan lebih 400 hektar sawah terjejas, manakala sekitar 50 pesawah di blok berkenaan bergantung kepada sistem pam yang kini berdepan masalah penyelenggaraan sejak awal tahun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PeSAWAH, Azhar Hashim berkata, kekurangan air menyebabkan pertumbuhan pokok padi terbantut dan menjejaskan proses pengisian padi sekali gus mengurangkan hasil tuaian.

Jelasnya, pesawah di Lambor Kanan hanya sempat menjalankan musim pertama penanaman padi mulai Jun walaupun ketika ini sepatutnya sudah memasuki musim kedua.

“Ini bermakna negara sudah kehilangan satu musim pengeluaran padi di kawasan ini.

“Walaupun ia di luar kawasan luar jelapang, ia tetap perlu diberi perhatian bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras negara dan mengurangkan kebergantungan kepada import,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri dan Persekutuan menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih mesin pam serta menaik taraf sistem perparitan supaya bekalan air dapat disalurkan mengikut keperluan pesawah.

Beliau turut menggesa pembekalan baja diselaraskan mengikut jadual penanaman supaya pesawah dapat melakukan taburan pada waktu yang sesuai.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pembangunan Komuniti Daerah Perak Tengah, Nordin Abdul Malek mencadangkan agar kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Menangani El Nino bagi membantu menangani bencana yang dialami pesawah.

“Jawatankuasa ini bukannya jawatankuasa retorik di peringkat kementerian sahaja tetapi ia mesti sampai ke peringkat daerah dan kalau boleh dipengerusikan oleh pegawai daerah,” katanya.

Beliau menjangkakan, sekiranya kesan El Nino tidak ditangani dengan baik, ia akan menjejaskan bekalan beras tempatan.