Penjajaran politik, PH wajar kaji semula hubungan dengan BN – AMK

Berita Perak

PADANG RENGAS: Pakatan Harapan (PH) wajar mengkaji semula kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) di dalam Kerajaan Perpaduan, yang dilihat tidak jujur dalam hubungan mereka.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menegaskan, sejak kebelakangan ini, dengan terbaharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, BN bukan sahaja dilihat melakukan penjajaran politik, tetapi percaturan politik dengan pihak lain di luar Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, perbuatan itu adalah tidak wajar kerana tumpuan harus diberi kepada kestabilan politik yang turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi.

“Saya fikir wajar untuk kita kaji semula hubungan kita Pakatan Harapan kerjasama politik dengan Barisan Nasional kerana kita tak lihat kejujuran yang sama diberikan di pihak sana.

“Sementara negara kita sedang berhadapan, bukan hanya negara kita, dunia sedang berhadapan dengan krisis di peringkat global, tumpuan dan usaha sepatutnya dialihkan kepada usaha untuk memperkukuh kedudukan ekonomi kita.

“Tetapi krisis ini digunakan kesempatan oleh mereka untuk melakukan percaturan politik untuk memenuhi kepentingan kelompok dan juga individu tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pemerkasaan Kelab Guru dan Staff serta penyampaian sumbangan kepada Sekolah-Sekolah di Parlimen Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda pada Khamis bahawa BN tidak mempunyai alasan untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya benar wujud kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, jika kerjasama antara BN-PN, maka gabungan pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil berkata, pendirian AMK sejak dari dulu lagi sangat jelas, iaitu perkara pertama yang harus dipastikan oleh Kerajaan Perpaduan ialah kestabilan politik.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan itu berkata, tindakan yang dilakukan oleh kelompok tertentu itu tidak boleh dinafikan ia juga akan menyumbangkan kepada ketidakstabilan ekonomi.

Bagaimanapun, beliau yakin, menjelang PRN Negeri Sembilan, rakyat boleh menilai pemimpin mana yang memberi tumpuan serta fokus kepada kerja dan pemimpin mana yang sibuk mencatur permainan politik.

Katanya, sekiranya BN boleh memilih untuk bermusuh dengan PH, mereka pun boleh berbuat sedemikian dan memberikan tumpuan kepada usaha untuk pembangunan ekonomi.