Orang ramai diminta waspada pembelian telefon murah dalam talian

Berita Perak

IPOH: Seiring dengan peningkatan aktiviti pembelian dalam talian, sindiket penipuan semakin licik mempergunakan kecenderungan pengguna untuk mendapatkan barangan pada harga murah.

Terbaharu, terdapat tawaran telefon pintar baharu model terkini pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran bagi memperdaya mangsa.

Ketua Pusat khidmat Dan aduan BN Perak Mohd Rawi Abdullah mendedahkan, beliau pernah menerima aduan daripada mangsa baru-baru ini.

“Iklan promosi yang menggunakan slogan seperti “hari ini sahaja”, “tawaran masa terhad” dan “stok terhad” sering dijadikan umpan oleh penipu untuk mewujudkan rasa terdesak, sekali gus mendorong pengguna membuat pembayaran secara terburu-buru tanpa menyemak kesahihan tawaran berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, sindiket penipuan memahami keinginan pengguna untuk memiliki produk elektronik terkini pada harga lebih rendah.

Justeru, katanya, mereka sering menggunakan barangan popular sebagai umpan melalui media sosial, iklan dalam talian dan platform e-dagang bagi menarik perhatian bakal pembeli.

Dakwanya, terdapat juga penjual tidak bertanggungjawab yang mencuri gambar produk, logo perniagaan serta ulasan pelanggan daripada peniaga sah untuk mewujudkan gambaran seolah-olah mereka merupakan penjual yang boleh dipercayai.

Malah, tambahnya. ada yang mendakwa stok semakin berkurangan dan mendesak pembeli membuat pembayaran segera bagi mengelakkan terlepas tawaran istimewa.

“Selepas menerima wang, penjual berkenaan mungkin terus menghilangkan diri atau menggunakan pelbagai alasan untuk meminta bayaran tambahan seperti kos penghantaran, wang jaminan dan caj lain,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, akaun Facebook pendidikan pencegahan penipuan Bank Negara Malaysia, Amaran Scam, turut menerbitkan video bagi mengingatkan orang ramai bahawa urusan pembelian melalui platform e-dagang yang sah juga tidak menjamin pengguna bebas daripada risiko penipuan.

Video tersebut mengingatkan pengguna supaya sentiasa menyemak latar belakang penjual, rekod transaksi, ulasan pelanggan serta maklumat produk sebelum membuat sebarang pembelian, dan tidak hanya bergantung pada harga murah atau gambar produk yang menarik.

Pengguna juga dinasihatkan supaya mengelakkan transaksi di luar platform e-dagang, khususnya pembayaran terus ke akaun bank peribadi atas arahan penjual, kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan mereka kehilangan perlindungan transaksi yang disediakan oleh platform berkenaan.

Selain itu, orang ramai diingatkan supaya tidak sewenang-wenangnya mengklik pautan yang dihantar oleh individu tidak dikenali atau mendedahkan maklumat akaun bank, kata laluan, nombor pengesahan sekali guna (OTP) dan maklumat peribadi.

Rawi menegaskan bahawa pengguna perlu mengamalkan sikap lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu terhadap produk serta latar belakang penjual, terutama apabila berhadapan dengan tawaran yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membiarkan keinginan mendapatkan barangan murah menyebabkan mereka mengalami kerugian kewangan yang lebih besar.

Beliau berkata, sekiranya penjual mendesak pembayaran segera atau meminta bayaran tambahan atas pelbagai alasan, pengguna dinasihatkan supaya menghentikan urus niaga dan tidak meneruskan pembayaran.

Ends.