IPOH: Kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa berusaha untuk menambah keperluan bumbung di Gerbang Malam bagi keselesaan peniaga dan pengunjung secara berfasa.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Loh Sze Yee berkata, peruntukan bagi menyediakan bumbung di kawasan tumpuan pelancong itu datangnya dari Persekutuan.
“Gerbang Malam sebenarnya bermula tanpa bumbung, setelah itu kerajaan negeri memohon (peruntukan) melalui MBI dan boleh dilihat bumbung itu ditambah secara berfasa.
“Peruntukan itu turun daripada Persekutuan, jadi kerajaan negeri melalui MBI sentiasa berusaha untuk menambah (bumbung).
“Sudah tentu seperti kebiasaan, apabila mereka (peniaga) tiada bumbung, yang dapat bumbung tidak pernah mengucapkan terima kasih. Malah, yang tidak dapat bumbung akan marah, persoal kenapa saya tiada bumbung?
“Bagaimanapun, isu ini sentiasa ditambah baik dan diusahakan. Sebenarnya bumbung Gerbang Malam sudah bertambah, cumanya kami memerlukan peruntukan daripada Persekutuan untuk tambah dan kami akan sentiasa memohon,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria (PAS) di Sidang DUN pada Selasa.
Dalam soalan tambahannya, Razman mengemukakan isu bumbung Gerbang Malam yang didakwa sudah berlarutan sekian lama dan meminta kerajaan negeri menambah baik keperluan peniaga di situ.
“Saya berkunjung ke Gerbang Malam dan melihat ramai pengunjung dari luar negara datang ke situ. Ada aduan daripada peniaga bahawa, sebahagaian lokasi di situ berbumbung dan tidak berbumbung.
“Peniaga yang tiada bumbung terdedah dengan risiko hujan dan menjejaskan mereka untuk berniaga. Adakah kerajaan negeri ada perancangan untuk tambah baik Gerbang Malam supaya ia menjadi tarikan pelancongan.
“Sekali gus mereka bermalam di Perak dan boleh menggunakan restoran dan kemudahan lain yang ada,” katanya.





