SUNGAI SIPUT: Lebih 2,000 peserta dijangka menyertai program larian amal Relay For Life Malaysia 2026 sejauh lima kilometer, Ahad ini, sebagai manifestasi sokongan dan solidariti masyarakat terhadap pesakit kanser.
Program anjuran Pertubuhan Kebajikan Misrah Malaysia dengan kerjasama Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) itu bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Tun Samy Vellu.
Pengasas dan Presidennya, Mohd. Shaiful Anuar Ahmad Jalalludin berkata, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dijangka berangkat menyempurnakan perasmian program berkenaan.

Menurutnya, penganjuran program itu bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya membawa mesej kesedaran, keprihatinan dan sokongan moral kepada pesakit kanser serta keluarga mereka.
Beliau berkata, penglibatan pesakit kanser dalam larian berkenaan turut menjadi simbol kekuatan, ketabahan dan semangat mereka dalam menghadapi cabaran penyakit itu.
Selain larian amal, pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk pemeriksaan kesihatan, saringan kanser dan kempen derma darah bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan serta pengesanan awal penyakit.


Setakat ini, seramai 1,800 peserta telah mendaftar dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang hari penganjuran program.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media berhubung penganjuran Relay For Life Malaysia 2026 di sini, semalam.
Penganjuran program itu diharap dapat menyemarakkan semangat kebersamaan masyarakat selain memperkukuh sokongan terhadap individu yang sedang berjuang melawan kanser.




