Pemimpin IPF berganding bahu pelihara seni dan warisan budaya masyarakat India

Berita Perak

TRONG,Program Malam Kebudayaan Deepavali anjuran Parti Indian Progressive Front (IPF) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong dengan kerjasama IPF Bahagian Bukit Gantang berlangsung meriah di Dewan Pejabat Penghulu Mukim Trong, di sini.

Program tersebut dianjurkan bertujuan memelihara dan memperkukuh warisan seni, budaya serta nilai tradisi masyarakat India agar terus diwarisi oleh generasi muda.

Majlis berkenaan dihadiri Naib Presiden Kebangsaan IPF, Datuk Velayutham yang turut hadir sebagai tetamu kehormat.

Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Perak merangkap Penyelaras DUN Trong, Ibnu Rasyeed bin Dato Hj Mat Isa.

Selain menyemarakkan sambutan Deepavali, program itu turut menjadi platform untuk mengetengahkan keunikan seni dan identiti budaya masyarakat India, di samping mengeratkan hubungan silaturahim serta perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Presiden IPF Perak, M. Manickam berkata, Deepavali bukan sekadar perayaan keagamaan, sebaliknya turut membawa mesej kasih sayang, persaudaraan, perpaduan dan kegembiraan yang perlu dikongsi bersama.

Menurutnya, penganjuran program seumpama itu penting bagi memastikan warisan seni dan budaya masyarakat India terus dipelihara serta tidak dilupakan oleh generasi akan datang.

Beliau berkata, program tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh gerak kerja parti di peringkat akar umbi serta meningkatkan hubungan dengan masyarakat setempat.

Sementara itu, Ibnu Rasyeed dalam ucapannya berkata, program seumpama itu wajar diteruskan bagi memastikan seni dan warisan budaya masyarakat India terus dipelihara.

Beliau turut menyatakan sokongan berterusan terhadap penganjuran program kemasyarakatan dan kebudayaan seperti itu pada masa hadapan.

Program berkenaan turut mendapat sambutan daripada barisan kepimpinan IPF, ahli-ahli serta penduduk setempat dari kawasan Trong dan Bukit Gantang.