IPOH: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan di sebuah premis, April lalu.
Tertuduh, Mohammad Aizat Zamli, 26, yang bertugas di Balai Polis Segamat, Johor bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis ketamin dan MDMA ke dalam badan di Bilik VIP 1 Grand OC Sdn Bhd, Wisma Wolley, Jalan Canning Estate, Taman Ipoh dalam daerah Kinta kira-kira jam 5.04 pagi pada 5 April 2026.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.
Kes turut dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta sama yang memperuntukkan tertuduh boleh diletakkan di bawah pengawasan bagi tempoh antara dua hingga tiga tahun selepas menjalani hukuman.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira menawarkan jaminan sebanyak RM4,000.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadzrah Badarudin yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum kerana anak guamnya masih bujang dan perlu menanggung bapanya yang uzur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam.





