Guru pelatih didakwa enam pertuduhan amang seksual terhadap anak muridnya

Berita Perak

IPOH: Seorang guru pelatih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas enam pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang anak muridnya, dua minggu lalu.

Muhammad Mifdzal Mohd Zalani Sham, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Berdasarkan kertas pertuduhan dia didakwa melakukan enam perbuatan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap seorang pelajar lelaki yang berumur 14 tahun 3 bulan.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Persiaran Guntong (S) 1/9, Kampung Chakadi, Ipoh, antara jam 1 hingga 7.26 pagi, pada 5 Julai lalu.

Lima daripada pertuduhan itu didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi satu lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 14(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman yang sama, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan di samping perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak boleh mengganggu mangsa serta tertuduh.

Mahkamah turut menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Raveenaa manakala tertuduh diwakili Peguam Ameer Firdaus Mohd Amir.