IPOH: Sebuah pertubuhan peniaga mendakwa mereka pernah menawarkan khidmat percuma untuk merobohkan Flat Sungai Pari yang menyaksikan dua remaja perempuan berusia 14 tahun ditemui maut di flat yang terbiar itu berhampiran Buntong di Ipoh pada Jumaat.
Presiden Pertubuhan Peniaga-Peniaga India Negeri Perak, K Hari Krishnan berkata, pada Februari 2023 mereka telah mengemukakan cadangan kepada Menteri Besar untuk merobohkan bangunan itu sebagai suatu tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi memastikan kawasan berkenaan dibersihkan serta menjamin keselamatan penduduk dan pelajar sekolah berhampiran.
“Cadangan tersebut dibuat berikutan pelbagai aktiviti yang didakwa berlaku di kawasan bangunan terbiar itu, termasuk kegiatan penyalahgunaan dadah, pengedaran dadah serta pelajar yang memasuki kawasan tersebut menghisap rokok dan dadah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan awam,” katanya.
Bercakap dalam sidang media khas di sini, Hari Krishnan berkata, cadangan mereka telah dirujuk kepada Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang kemudiannya dipanjangkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP).
Bagaimanapun, katanya, oleh kerana tiada maklum balas lanjut diterima, pada 18 September 2024, mereka mengemukakan rayuan kepada semua pihak berkenaan agar keseluruhan bangunan Flat Sungai Pari dirobohkan.
Menurutnya, dalam rayuan itu, mereka menawarkan untuk melaksanakan kerja-kerja meroboh bangunan dan menghancurkan sisa bangunan, membersihkan sampah serta meratakan kawasan secara percuma yang dianggarkan dapat menjimatkan kos sekitar RM1.5 juta.
Namun, ujarnya, sehingga hari ini mereka masih belum menerima sebarang keputusan daripada pihak-pihak berkenaan.
Bagaimanapun, tambahnya, pihak pertubuhan masih bersedia untuk berbincang dengan pihak-pihak berkenaan bagi meneruskan cadangan mereka itu.
Pada Jumaat, media melaporkan dua pelajar perempuan berusia 14 tahun ditemui maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat atas sebuah bangunan perumahan kosong dekat Buntong, Ipoh
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendedahkan remaja berkenaan didakwa meninggalkan perkarangan sekolah secara sukarela, sebelum ditemui tidak sedarkan diri di lokasi berkenaan.
Menurutnya, siasatan belum menemui sebarang bukti yang menunjukkan pembabitan mana-mana pihak lain.







