Didakwa edar dadah, enam beradik bersama seorang rakan berdepan hukuman mati

Berita Perak

IPOH: Enam beradik bersama seorang rakan mereka berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Selasa atas pertuduhan mengedar dadah seberat 118.87 gram minggu lalu.

Muhammad Affandi Zulkafli, 41 dan lima adiknya, Shahrul Azwan, 38, Muhammad Khairul Azmil, 40, Muhammad Amirul, 29, Mohamad Hafizi, 27, dan Mohamad Shah Herman, 35, mengangguk faham apabila pertuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Bagaimanapun, tiada mengakuan direkodkan kerana hukuman mati di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Seorang lagi tertuduh, Mohd Ismail Borhan, 43, sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan mahkamah memaklumkan pertuduhan terhadapnya akan dilakukan petang ini.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama telah mengedar dadah jenis heroin seberat 118.87 gram.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pondok tidak bernombor, bersebelahan rumah Kampung Che Zainal, Chemor, Ipoh kira-kira jam 9.20 malam, pada 21 Julai 2026.

Mereka dituduh di bawah Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (2) akta sama dan dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin manakala enam beradik itu tidak diwakili peguam.