IPOH: Negeri Perak memerlukan lebih 57,000 unit rumah menjelang tahun 2030, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut beliau, unjuran itu bagi menampung keperluan perumahan ekoran beberapa projek mega yang akan dan sedang dalam pelaksanaan.
Katanya, setakat ini terdapat sekurang-kurangnya lima projek mega di Perak iaitu Automotive High Technology Valley (AHTV) di Tanjong Malim; Lumut Maritime Industrial City (LUMIC) di Manjung; Ipoh Raya Integarated Park di Simpang Pulai; Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan dan terbaharu Kerian Integrated GreenIndustrial Park (KIGIP).
Beliau berkata, projek-projek berimpak tinggi itu dilaksanakan dengan tujuan untuk mewujudkan rantaian ekonomi yang memberi pelbagai kesan, selain merangsang pertumbuhan, ia juga dapat memberi peluang pekerjaan yang berkualiti, khususnya bagi generasi muda.
“Kita komited untuk membangunkan lebih banyak unit rumah mampu milik menjelang tahun 2030 melalui pelaksanaan Dasar Perumahan Negeri Perak yang holistik dan sesuai dengan keperluan semasa.
“Dalam hal ini, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) telah diberi tanggungjawab sebagai agensi utama negeri bagi menerajui agenda menyediakan perumahan mampu milik ini,” katanya ketika berucap merasmikan bangunan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Negeri Perak, di sini, hari ini.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Saarani berkata, unjuran 57,000 unit rumah itu meliputi semua jenis, daripada kos rendah, sederhana dan mampu milik.
“Kesemua itu kita kena buat unjuran yang betul supaya semua lapisan masyarakat berpeluang untuk memiliki rumah sendiri,” ujarnya.
Mengenai cadangan supaya Dasar Perumahan Negeri Perak 2018-2025 dikaji semula agar kerajaan negeri memberi penekanan kepada rumah berharga RM200,000, Saarani berkata, ia juga bergantung kepada harga bahan mentah, termasuk yang perlu diimport dari luar negara.
Merujuk kepada cadangan REHDA agar kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau unit-unit rumah tidak terjual, beliau berkata, ia akan dibincangkan di peringkat LPHP.