IPOH: Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis melepas dan membebaskan seorang pendawai elektrik daripada tuduhan menanam pokok ganja, tiga tahun lalu.
Aszizi Ayub, 37, kelihatan sebak dan menitiskan air mata selepas Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membacakan keputusan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah membenarkan tumbuhan jenis cannabis atau ganja seberat 253.4 gram di mana pokok itu boleh diperolehi secara langsung, ditanam oleh orang lain di dalam beg plastik dan dibiarkan tumbuh dalam beg plastik tersebut.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Persiaran Wira Jaya Timur 36, Taman Dato’ Leow Yan Sip dalam daerah Kinta, kira-kira jam 8.30 malam pada 31 Julai 2023.
Dia didakwa di bawah Seksyen 6B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh disebat tidak kurang daripada enam sebatan.
Hakim Meor Sulaiman berkata, setelah menilai keterangan-keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa serta hujah daripada pihak pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Oleh itu, katanya, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SV Pavitra manakala tertuduh diwakili Peguam Keshvinder Singh, Sukhdave Singh dan Renver Singh.
Ends.





