Kerancakan STL dorong anjur kejohanan sepak takraw amatur

Berita Perak

IPOH: Kerancakan aktiviti sukan sepak takraw sejak kebelakangan ini, termasuk Sepak Takraw League (STL) mendorong seorang Ketua Whip, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk menganjurkan kejohanan tertutup.

Datuk Mazlan Abdul Rahman berkata, Datuk Sumali Reduan menjadi Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), sukan sepak takraw menjadi fenomena luar biasa di negara ini.

“Dahulu, sepak takraw kurang mendapat sambutan tetapi selepas Datuk Sumali menerajui PSM, dia telah membawa satu momentum yang luar biasa.

“Hasilnya, daripada media sosial seperti Tik Tok yang saya lihat, ramai penduduk Ulu Kinta yang mengadu meminta saya membaik pulih gelanggang takraw,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Amatur Tertutup Ulu Kinta Piala Tok Lan 2026 di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun di sini, hari ini.

Beliau berkata, ekoran daripada itu, beliau mula membaik pulih gelanggang takraw yang ada, bermula di Lembah Permai, Tanjung Rambutan dan Taman Perpaduan.

Menurutnya, dari situ timbul idea untuk menganjurkan kejohanan sepak takraw amatur tertutup, khusus untuk pemain di sekitar kawasan Hulu Kinta.

Mazlan berkata, sebanyak 32 regu mengambil bahagian dalam kejohanan yang pertama kali diadakan, termasuk dua dari pasukan Orang Asli dari Kampung Makmur dan Kampung Chadak.

Selain itu, katanya, kejohanan itu juga menggunakan khidmat pengadil bertauliah PSM yang juga menjadi pengadil di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Dengan sambutan yang sangat menggalakkan, insya Allah kita akan teruskan kejohanan ini di masa-masa akan datang, dan mungkin dengan skala yang lebih besar,” ujarnya.

Menurut Mazlan, kejohanan itu turut menggabungkan pemain muda dan veteran bagi bagi membolehkan anak muda mengasah bakat masing-masing dengan tunjuk ajar pemain berpengalaman.

“Kejohanan seperti ini juga menggalakkan anak-anak muda untuk menyertai aktiviti sukan di luar yang lebih sihat dan tidak hanya mengadap gajet sahaja,” katanya.

Sementara itu, beberapa pemain yang ditemui menyambut baik kejohanan yang diadakan dan berharap ia akan diteruskan di masa akan datang.

Kejohanan sehari itu menawarkan hadiah wang tunai serta hadiah sampingan.

Kg Chadak
Kg Makmur

Guna pengadil diiktiraf PSM