TIC perkasa bakat masa hadapan bersama pemain industri

Berita Perak

IPOH: TAJ International College (TIC) terus memperkukuhkan komitmennya dalam melahirkan generasi muda yang bersedia menghadapi perubahan dunia pendidikan, teknologi dan pekerjaan melalui penganjuran program bersama pemain industri.

Pengerusi Eksekutif TIC, Tina Tajudin berkata, TIC melihat pembangunan bakat masa hadapan bukan sekadar tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya perlu merangkumi pengalaman dunia sebenar, pendedahan industri, kemahiran digital, keusahawanan dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.

Menurutnya, program TIC Future-Ready Talent Showcase 2026 bertemakan “Industry-Ready Future Talents: Education Meets Industry” yang berlangsung pada 22 Ogos 2026 di Kampus TIC menghimpunkan institusi pendidikan, rakan industri, majikan, penyedia teknologi serta organisasi strategik dalam satu platform bagi memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai peluang pendidikan, kerjaya, teknologi dan kemahiran masa hadapan.

Katanya, konsep pertemuan pendidikan dan industri menjadi teras utama program bagi merapatkan jurang antara institusi
pendidikan dengan keperluan sebenar dunia pekerjaan.

“Melalui interaksi secara langsung bersama wakil industri, majikan dan profesional, peserta berpeluang memahami dengan lebih dekat kepentingan penguasaan ilmu, kemahiran teknikal, kemahiran insaniah serta kompetensi digital dalam membina masa depan kerjaya yang lebih kukuh,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian.

Program dirasmikan Pengerusi Dewanita, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan IKON Pemerkasaan Wanita Bisnes Sinar Awards (BISA) 2026, Dr. Suffiya Hany Mohd Amin.

Menurut Tina, antara fokus program termasuk teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI) di samping inovasi, keusahawanan dan pekerjaan masa depan.

Katanya, kemuncak program ialah pelancaran TIC Future-Ready Talent Initiative yang merangkumi beberapa inisiatif utama seperti ‘Young Business Apprentice’, ‘TIC Young Business Apprentice’, Young ChildCare Entrepreneur’, ‘Industry Competency Initiative’ dan Future-Ready Talent Ecosystem’.

“Pelancaran ini disusuli dengan Strategic MOU Signing Ceremony serahan LOI bersama rakan industri, korporat, teknologi dan pendidikan strategik sebagai usaha memperluas jaringan kerjasama serta menyediakan lebih banyak peluang pembangunan bakat kepada generasi muda,” ujarnya.

Tina berkata, kira-kira 30 pemain industri turut hadir pada program itu selaras dengan peranan mereka sebagai rakan strategik pembangunan bakat.

Ujarnya, penglibatan rakan industri itu memberikan peluang kepada peserta untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai perkembangan pasaran pekerjaan, keperluan majikan serta kemahiran yang diperlukan bagi memastikan graduan dan generasi muda kekal relevan dalam landskap ekonomi yang semakin dipacu oleh teknologi.

Katanya, pihaknya turut menyampaikan sumbangan komputer riba di bawah program TIC Prihatin 1.0 & 2.0, sekaligus mencerminkan usaha berterusan kolej itu dalam menyokong akses dan peluang pendidikan kepada komuniti yang memerlukan.

Ends.