IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan bahawa Setiausaha Politik beliau, Mohammad Hamidi Baharuddin telah meletakkan jawatan.
Menurut Saarani, beliau menerima surat mengenai perkara itu pada 10 Ogos lalu dengan peletakan jawatan berkuat kuasa pada 17 Ogos.
“Supol ada menulis surat kepada saya bertarikh 10 Ogos dan menyatakan dia mahu meletakkan jawatan yang berkuat kuasa 17 Ogos. Jadi kita pun telah menerima perletakan jawatannya.
“Dia bagi alasan kesihatan, dia memerlukan masa untuk mendapat rawatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Invest In Perak Day di sebuah hotel di sini, hari ini.
Mengulas dakwaan pihak tertentu yang tular mengaitkan peletakan jawatan Mohamad Hamidi kerana mengambil bahan terlarang, Saarani berkata, tiada bukti yang mengaitkan perkara tersebut.
“Yang itu saya pun baca dalam media sosial. Selagi mana tak ada bukti oleh pihak berkuasa, sama ada Jabatan Kesihatan atau polis, saya tak mahu membuat apa-apa andaian,” jelasnya.
Dalam pada itu, Saarani berkata beliau akan mengambil masa sedikit untuk dibuat pelantikan baharu.
Sebelum ini seorang pempengaruh politik, mendedahkan Supol Menteri Besar Perak sudah meletakkan jawatan, kononnya selepas mendedahkan individu tersebut terlibat dengan penyalahgunaan dadah.





