BATU GAJAH, Lebih 200 peniaga Pasar Malam Pandak Akhat, di sini, menghias gerai masing-masing dengan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan yang sedang berlangsung.
Inisiatif itu digerakkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perkasa Negeri Perak (PPKMP) yang turun padang mengagihkan Jalur Gemilang kepada peniaga di pasar malam berkenaan.
Presiden PPKMP Alfirzamunira Abdul Muin berkata selain Jalur Gemilang, mereka turut mengedarkan apron kepada peniaga sebagai sebahagian daripada program yang julung kali dianjurkan pada tahun ini.


Menurutnya, semua peniaga memberikan sambutan yang menggalakkan, termasuk mengambil inisiatif membeli sendiri untuk menghias dan mengibarkan Jalur Gemilang di gerai masing-masing.
“Kita juga turut mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan gerai terbaik mengikut tema kemerdekaan dan saya melihat para peniaga di sini mengambil inisiatif yang sangat menggalakkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Semangat Merdeka dan Kempen Pasar Malam Hijau, semalam.
Menurutnta, sambutan positif peniaga dan pengunjung membuka ruang untuk pihaknya mengadakan program seumpama itu di lokasi lain pada masa akan datang.
Menurutnya, antara program yang dirancang ialah yang berkaitan sempena Hari Malaysia pada 16 September depan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).



Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Steven Tiw Tee Siang berkata suasana di pasar malam berkenaan memperlihatkan bagaimana masyarakat daripada pelbagai kaum dapat bersama-sama meraikan bulan kemerdekaan dalam suasana santai.
Menurutnya, beliau dapat melihat bagaimana rakyat tidak kira Melayu, Cina atau India bersama-sama meraikan sambutan bulan kebangsaan dengan penuh semangat patriotik dan perpaduan.
Dalam pada itu, peniaga sushi dan mochi, Norlaila Harun, 45, mengambil inisiatif membuat Jalur Gemilang dari bahan-bahan untuk membuat sushi seperti mayonis, sos cili dan telur.
“Saya berniaga sushi dan mochi ini kerana anak-anak memang suka makan makanan ni, jadi saya buat sendiri dan ambil keputusan untuk jual di pasar-pasar malam,” katanya.
Ends.





