Bulan Kebangsaan: Swasta edar Jalur Gemilang, semai semangat patriotik, perpaduan

Berita Perak

IPOH: Sempena sambutan Bulan Kebangsaan ke-68, tahun ini, sebuah syarikat swasta mengambil inisiatif menyemai semangat patriotik dengan mengedarkan bendera Jalur Gemilang secara percuma kepada orang ramai di sekitar pejabat mereka di Taman Rishah, di sini.

Sesuai dengan tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” dan untuk menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan, serta rasa cinta kepada negara, Navira Meditech Sdn Bhd turut mengedarkan Jalur Gemilang di taman didikan kanak-kanak (tadika).

Pengarah Urusan Navira Meditech, S. Rajasegaran berkata, inisiatif itu bukan sekadar mengagihkan bendera, tetapi sebagai tanda cinta kepada negara dan penghargaan kepada masyarakat yang selama ini menyokong syarikat.

“Kami mengedarkan bendera di tadika adalah memupuk sikap patriotisma dari akar umbi lagi.

“Di samping menggalakkan orang ramai bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di rumah mereka untuk sempena Hari Kebangsaan, pejabat dan rumah kami juga dihiasi bendera Malaysia dan negeri Perak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, aktiviti itu bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan malah menjadi medium memupuk perpaduan, saling menghormati dan bekerjasama tanpa mengira bangsa, agama mahupun latar belakang.

Menurut Rajasegaran, sebagai rakyat Malaysia, semua pihak seharusnya merasa bangga kibarkan Jalur Gemilang, bukan saja di pejabat, tapi di rumah, kedai dan kereta.

Menurutnya, melalui usaha itu mereka juga menghargai segala pengorbanan pejuang terdahulu yang telah membawa kemerdekaan kepada negara.

“Jalur Gemilang lambang maruah negara, kibarkannya dengan penuh bangga. Semarakkan semangat patriotisme dan cintakan Malaysia,” katanya.

Rajasegaran berkata, selain mengedarkan bendera, syarikatnya juga melaksanakan pelbagai program sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan.

Ends.