Dua wanita didakwa perdaya pesara hampir RM120,000 selesai tunggakan cukai tidak wujud

Berita Perak

IPOH: Dua orang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan memperdaya seorang pesara hampir RM120,000 berhubung penyelesaian tunggakan cukai tidak wujud, pada April dan Jun lalu.

Noorfarah Surina Ahmad, 42, dan Nurfalah Noordin, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut ketiga-ketiga pertuduhan mereka didakwa bersama-sama dengan curang telah menipu seorang lelaki berumur 60 tahun dengan menawarkan bantuan menyelesaikan tunggakan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dalam pengetahuan mereka tidak wujud.

Mereka didakwa dengan curang telah mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM23,000; RM86,196 dan RM10,000 yang tidak akan diserahkan jika tidak diperdaya oleh mereka.

Mereka didakwa melakukan kesemua perbuatan tersebut di Wisma Hasil, Nombor 128, Jalan Tambun, Taman Ipoh dalam Daerah Kinta, pada 10 dan 14 April serta 4 Jun lalu.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, Peguam Izzat Fakhri Halimi yang mewakili Noorfarah Surina dan peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Intan Shafini Mior Shahrin yang mewakili Nurfalah memohon jaminan yang rendah tidak lebih RM5,000.

Mahkamah diberitahu Noorfarah Surina mempunyai seorang anak berusia 11 tahun dan bekerja sebagai pengatur acara dengan pendapatan bulanan RM2,000.

Mahkamah turut dimaklumkan Nurfalah pula mengidap penyakit schizophrenia dan disara oleh wang pencen ayahnya selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin warga tempatan untuk semua pertuduhan di samping perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Mahkamah menetapkan 24 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.