IPOH: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan melakukan rompakan dan sengaja
menyebabkan kecederaan seorang wanita, minggu lalu.
Tertuduh, Lee Koon Yew, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak yang berusia 21 dan 23 tahun itu didakwa telah melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan seorang wanita berumur 26 tahun.
Dia yang tidak bekerja didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Laluan 10, Taman Batu Gajah Perdana, dalam daerah Batu Gajah, kira-kira jam 11.40 pagi, 8 Ogos lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya M. Raveenaa memohon jaminan RM20,000 kerana ketika kejadian mangsa sedang mendukung bayinya berumur dua bulan dan kecederaan yang dialami menyebabkan dia dirawat di hospital.
Bagaimanapun peguam Dhirren Amaresha yang mewakili tertuduh memohon jaminan minima kurang RM10,000 kerana anak guamnya seorang bapa tunggal yang mempunyai dua orang anak serta mengidap penyakit darah tinggi.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin di samping syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak menganggu saksi.
Mahkamah turut menetapkan 23 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.
Pada 8 Ogos lalu tular video berdurasi 53 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki cuba melarikan diri menaiki sebuah motosikal dipercayai ketika cuba merompak sebuah rumah sambil dirakam oleh mangsa.
Sehari kemudian, Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Md Noor Aehawan Mohammad dalam kenyataan memaklumkan polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun mendatangkan kecederaan di sebuah rumah di Taman Batu Gajah Perdana.





