IPOH: Bubur Asyura lazimnya dikaitkan dengan bulan Muharram, iaitu pada hari ke-10 bulan tersebut yang dinamakan sebagai Hari Asyura.
Bagaimanapun, Persatuan Anak-Anak Besut D’Perak masih terus menganjurkan program kacau bubur Asyura yang masuk tahun keenam penganjurannya, walaupun diluar musim.
Timbalan Pengerusi Persatuan Anak-Anak Besut D’Perak, Shamsul Azhar Ab Wahab berkata, Majlis Asyura Besut D’ Perak dianjurkan warga Besut, Terengganu yang bekerja dan belajar di Perak.
“Tujuan Majlis Besut D’ Perak adalah untuk kita mengeratkan lagi silaturrahim antara anak-anak ukhwah kita, antara anak-anak Besut yang bekerja dan belajar di Perak,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, hampir 800 orang mengambil bahagian dalam program yang bermula sejak pagi Sabtu lalu.
Jelasnya, dengan adanya program seumpama itu, mereka juga dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.
“Kalau ada apa-apa masalah mudah kita nak berurusan sebab orang tua kita jauh, keluarga kita jauh beratus kilometer di Terengganu. Ini lah adik beradik, keluarga kita yang duduk di Perak.
“Bak kata orang tua-tua, cubit peha kiri, peha kanan terasa, inilah yang kita terapkan melalui program-program seumpama ini,” ujarnya.
Beliau meminta anak-anak Besut di Perak yang tercicir kerana tidak dapat dikesan, agar tampil untuk bersama-sama dalam aktiviti persatuan.
Menurut Shamsul Azhar, mereka turut menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti membantu anak-anak Besut yang ditimpa musibah serta program kebajikan lain.
Beliau memberi contoh, program kebajikan seperti dalam kes 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meninggal dunia dalam satu tragedi kemalangan bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli, pada awal 9 Jun 2025.
“Anak-anak Besut yang masih tercicir akan dikesan melalui media sosial seperti kumpulan Whatsapp, Facebook dan Tik Tok,” tambahnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Besut D’Perak, Mohd Salorwadi Mohd Nor, selain bubur Asyura, mereka turut memasak gulai kawah sempena majlis doa selamat yang diadakan serentak.
“Masing-masing kami datang dari berlainan latar belakang, seperti peniaga, anggota keselamatan dan pelajar dapat dikumpulkan dalam satu majlis dan satu bumbung dengan satu usaha.
“Walaupun Hari Asyura dah berlaku tapi anak-anak Besut tetap mahu mengadakan program kacau bubur Asyura kerana dengan adanya acara seumpama kami dapat merapatkan silaturrahim,” katanya.
Menurutnya, mereka mengumpul dana secara sukarela di kalangan ahli tetapi yang pentingnya ada yang membantu dengan tenaga, wang ringgit, buah fikiran dan macam-macam lagi.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh yang turut menghulurkan sumbangan.
Beliau juga berharap agar program seumpama itu dapat di teruskan dari semasa ke semasa.





