IPOH: Empat orang penghuni sebuah pusat jagaan di Tanjung Rambutan, didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, pada Rabu atas pertuduhan membunuh dan menyebabkan kematian seorang penghuni lain, minggu lalu.
Ahmad Faiz Mohd Rauhi, 35, Zaid Shaari, 50, Radzuan Suboh, 55 dan Abdul Halim Mohd Niza, 47, mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Ridzuan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Faiz, didakwa telah membunuh Mohd Fauzir Hussin, 54, di Pusat Jagaan Bakti, Jalan Bunga Cempaka, Taman Chong Kwee, Tanjung Rambutan, antara jam 5 petang hingga 5.41 petang, 4 Ogos lalu.
Dia dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Pada prosiding sama, Zaid, Radzuan dan Abdul Halim didakwa bersama-sama menyebabkan kematian mangsa yang sama di lokasi, masa dan pada tarikh sama.
Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh dan mahkamah menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan bedah siasat, perubatan penuh dan laporan-laporan berkaitan di samping laporan psikiatri untuk Abdul Halim.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.





