IPOH: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya, minggu lalu.
Tertuduh, Teoh Wai Loon, 44, dan isterinya, Lim Suk Pei, 38, mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
https://www.youtube.com/watch?v=yymiyWvqn50
Mengikut pertuduhan, suami isteri itu didakwa bersama-sama telah mengedar dadah berbahaya jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), anggaran berat 480.60 gram di sebuah bilik di Bercham Bistari 4, Medan Bercham Bistari, Ipoh kira-kira jam 10.30 malam, 4 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala pasangan suami isteri itu tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan terhadap kedua-dua tertuduh.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.





