IPOH: Pembangunan Urban Forest yang bernilai lebih RM1 bilion di Tambun dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri apabila projek seluas kira-kira 33 hektar (84 ekar) itu siap menjelang 2030.
Projek yang melibatkan kerjasama Team Keris Berhad (TKB), RJJ Hotels Sdn Bhd dan Malaysian Chinese Restaurant (MCRA) itu dijangka memperkukuh ekosistem pelancongan, hospitaliti, makanan dan minuman (F&B), peruncitan serta komersial di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata pembangunan berkenaan akan melengkapi ekosistem sedia ada di Tambun, termasuk taman tema, pembangunan komersial dan hospitaliti lain, sekali gus berpotensi menjadikan kawasan itu sebagai hab pelancongan.
“Jadi pembinaan Urban Forest kali ini juga betul-betul bukan menyaingi tetapi ‘complimentary’ kepada ekosistem yang ada dan bakal menjadikan Tambun sebagai hab pelancongan, di mana ia dapat menambahkan sebab kenapa pelancong-pelancong datang ke Ipoh ataupun Perak.
“Sekarang ramai orang tahu Ipoh ataupun Perak merupakan antara kawasan destinasi pelancongan domestik yang agak tinggi di negara yang selalu dalam top three setiap tahun,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) dengan RJJ Hotels serta Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MCRA di Ibu Pejabat TKB di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan TKB, Datuk Lee Seng Hee; Ketua Pegawai Eksekutif RJJ Hotels, Yap Ling Seng dan Presiden MCRA, Gao Haoyun.
Mengulas lanjut Loh berkata, pembangunan Urban Forest yang mempunyai ekosistem antarabangsa adalah penting bagi mencapai sasaran menarik lebih ramai pelancong dari luar negara.

Menurutnya, selain hotel bertaraf antarabangsa, kedai-kedai makanan terkenal dalam Perak dan juga di Ipoh juga akan ada di situ, bersama-sama dengan rangkaian restoran yang bernaung di bawah MRCA.
Sementara itu, Lee berkata, Urban Forest akan menampilkan 40 peratus F&B dari MRCA manakala baki 60 peratus lagi dimiliki rakyat Malaysia.
Beliau memberi jaminan, daripada jumlah itu, 30 peratus adalah F&B halal.





