TAPAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, di Gunung Batu Putih turut dibantu sekumpulan sukarelawan Orang Asli dari Pos Titom, Hulu Jelai, Pahang.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kumpulan 13 Orang Asli itu ditemukan pasukan SAR yang beroperasi di sekitar Gunung Rayu pada Selasa.


Menurutnya, kumpulan Orang Asli itu dipercayai telah memulakan usaha pencarian secara sukarela sejak empat hari lepas di kawasan berkenaan.
Ujarnya, kesemua sukarelawan Orang Asli itu dipercayai sebahagian daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pasukan Pelindung di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Katanya, kumpulan itu juga dikatakan aktif menjalankan aktiviti di sekitar hutan berkenaan.
Terdahulu, pasukan sukarelawan komuniti Orang Asli dari Kampung Woh, Tapah membuat persiapan rapi bagi membantu SAR Jaslinda yang hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih sejak 24 Mei lepas.
Penyelaras pasukan tersebut, Chew Ho Beng berkata seramai 22 sukarelawan daripada suku Semai berusia antara 20 sehingga 60 tahun, kini sedang membuat persiapan termasuk menyediakan bekalan makanan dan kelengkapan diperlukan bagi operasi yang mungkin memakan masa selama lima hingga enam hari.



Menurutnya, operasi akan bermula dari kampung terbabit dan lokasi tumpuan kumpulan berkenaan akan difokuskan ke sekitar laluan Kem Sukaneka serta Gunung Rayu.
Bagaimanapun, ujarnya, trek yang akan dilalui itu berbeza selain tidak akan terarah kepada laluan sedia ada yang telah dilalui pasukan SAR.
Pada Isnin, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon berkata kumpulan Orang Asli berkenaan akan dipecahkan kepada kumpulan kecil dengan memfokuskan kawasan di luar laluan utama di antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu bagi mengesan jejak pendaki wanita berkenaan.
Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, Ahad lalu.





